Jilid 1 - Risalah al-Quran - Muhammad Asad
Kitab Risalah al-Qur’ān ini daripada terjemahan The Message of the Qur’ān yang diusahakan oleh Muhammad Asad selama lebih 17 tahun ini membawa pesan yang signifikan dari kata kuncinya li qawmin yatafakkarun (untuk kaum yang berfikir). Ia menegaskan pandangan dan kefahaman rasional dan intelek yang melatari perbincangannya yang ekstensif terhadap ayat al-Qur’ān. Tema ini diketengahkan bagi merekonstruksi dan memperbaharui pemikiran dan merealisasi idealisme perubahan dan ijtihad. Karya The Message of the Qur’ān ini dinilai sebagai kitab terjemahan al-Qur’ān ke dalam bahasa Inggeris yang terbaik hingga saat ini. Penilaian tersebut tidaklah berlebihan, sebab dalam penerjemahannya, Asad tidak hanya mencari padanan kata namun berupaya untuk mempertahankan makna. Jilid I daripada Risalah al-Qur’ān ini adalah daripada Sūrah Al-Fātihah hingga Sūrah Yusuf. Dalam tafsirnya Asad mempertahankan prinsip kebebasan dan asas-asas pemikiran rasional dan tuntutan ijtihad yang dijabarkan dengan komprehensif dalam tafsirnya. Hal ini dirumuskannya, dari kefahaman al-Qur’ān dan hadith, bagi membela idea-idea rasional dan semangat pembaharuan seperti katanya dalam bukunya The Road to Mecca atau terjemahannya Jalan Ke Mekah: “Islamlah yang telah menjadikan umat Islam hebat. Tetapi sebaik agama mereka menjadi adat kebiasaan dan berhenti dari menjadi program kehidupan, untuk diikuti secara sedar, dorongan kreatif yang mendasari peradaban mereka pudar dan perlahan-lahan memberi laluan kepada kelembapan, kemandulan, dan kereputan budaya.” Tafsirannya mempunyai kekuatan dalam memberdaya dan mempelopori kebangkitan intelek dan memperbaharui tamadun, melonjakkan idealisme dan semangat renaisans dan mencambahkan masyarakat yang dinamik, dan mengembangkan nilai yang lahir daripada keyakinan dan ijtihād dan menolak amalan taqlid yang bobrok dan jahil, yang memperbodohkan akal, kerana seperti kata pemikir Malik Bennabi “Kejahilan hakikatnya adalah kemusyrikan kerana ia tidak memupuk fikiran, tetapi memahat berhala.”